Sunday, August 08, 2004

Rezeki, jodoh dan usia ...

Apakah rezeki seseorang itu telah ditetapkan sekian banyak, umurnya sekian panjang dan jodohnya sianu? Jika telah ditetapkan apa perlunya usaha mencari rezeki, menjaga kesihatan dan memikat bakal isteri atau suami? Jika tidak ditetapkan apakah Tuhan tidak berperanan sepenuhnya? Inilah persoalan qada' dan qadar yang telah lama dibincangkan tetapi masih belum difahami dengan baik.

Di dunia ini semua aktiviti manusia terikat dengan ruang dan masa, kerana ruang dan masa itulah yang menjadi alat ukur aktiviti manusia. Pada hal Tuhan Semesta Alam tidak terikat dengan masa dan ruang manusia. Justeru, memahami peranan Tuhan Yang Maha Mengetahui dalam soal rezeki, umur dan jodoh dengan alat ukur manusia akan lebih banyak mengundang pertanyaan daripada jawapan. Apakah alternatifnya?

Pertama kita mesti yakin sepenuhnya bahawa apa yang tertulis di "Loh Mahfuz" itu menggambarkan kuasa mutlak Tuhan. Oleh itu tidak perlulah dijelaskan "Loh Mahfuz" dengan kayu ukur manusia kerana ia akan membawa kepada kekaburan dan sikap pesimis. Oleh itu dari perspektif manusia kita mungkin dapat memahami bahawa apa sahaja yang telah berlaku itu adalah suatu yang telah "ditetapkan". Tetapi apa sahaja yang akan berlaku pada masa hadapan, Tuhan Maha Kuasalah yang "menentukan" berapa banyak rezeki yang patut kita perolehi, berapa panjang umur yang kita layak dan siapa jodoh kita, berdasarkan usaha dan doa yang kita panjatkan kepada-Nya - itulah Sunatullah. Sunatullah itu untuk kita, manusia dan Tuhan tidak memerlukannya.

(Nukilan ini sebagai tanda ingatan ke atas kembalinya sahabatku Almarhum Datu Bandira Datu Sialang ke rahmatulLah pada 8 Ogos 2004. Semoga Allah s.w.t. mengampunkan dosa-dosanya dan memasukkannya ke dalam syurga.)

No comments: